PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) meminta kajian pelaksanaan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak dipolitikkan hingga menimbulkan ketakutan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kajian itu hanyalah proses demokratik untuk mendengar suara rakyat dan sama sekali tidak mengancam Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam.
“Kerajaan belum membuat keputusan apa-apa. Kajian ini hanya untuk menilai pandangan rakyat.
“Jangan ada pihak yang cuba menakutkan rakyat seolah-olah kajian ini satu ancaman besar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mahfuz berkata, dakwaan bahawa Pilihan Raya Datuk Bandar KL boleh menjejaskan kedudukan orang Melayu, Raja-Raja Melayu atau Islam adalah tidak berasas dan mengelirukan rakyat.
Menurutnya, isu Pilihan Raya Datuk Bandar harus dilihat dari sudut kebertanggungjawaban pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap rakyat, termasuk menangani isu harian seperti perumahan, longkang, parit dan kemudahan awam.
“Kalau benar mahu bela rakyat Kuala Lumpur, fokus kepada soal kebertanggungjawaban bukan cipta ketakutan perkauman dan agama yang langsung tidak relevan,” katanya.
Mahfuz turut memberi amaran bahawa segala percubaan mempolitikkan kajian ini demi kepentingan politik sempit hanya akan menunjukkan sikap tidak matang dan bercanggah dengan prinsip demokrasi.
“Ini soal demokrasi dan hak rakyat. Jangan bunuh proses itu dengan politik murahan. Biarkan kajian kerajaan berjalan secara telus, dengar suara rakyat, dan barulah keputusan dibuat,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dilaporkan berkata kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Kajian itu dijalankan sejak Disember lalu, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memulakan kajian berkenaan pada hujung tahun lalu dan kebolehlaksanaan pilihan raya itu serta keputusannya dijangka diperoleh bulan depan. – UTUSAN










