PETALING JAYA: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) bakal berdepan tugas getir apabila dijadualkan menentang pemenang pertemuan antara Al Ahli dan Al Duhail pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).
Perlawanan suku akhir pertama dijadual berlangsung pada 16 April, diikuti perlawanan kedua dan ketiga pada 17 April manakala perlawanan terakhir akan dimainkan pada 18 April.
Separuh akhir pertama dijadualkan pada 20 April diikuti satu lagi perlawanan pada 21 April dengan kesemuanya diadakan di Jeddah, Arab Saudi.
Satu lagi perlawanan yang mencuri tumpuan adalah pemenang antara Al Hilal dan Al Sadd akan bertemu kelab dari Jepun, Vissel Kobe di peringkat suku akhir kejohanan.
Juara liga peringkat zon timur, Machida Zelvia dari Jepun akan bertemu pemenang antara Al Ittihad dan Al Wahda.
Kelab Thailand, Buriram United akan berdepan pemenang perlawanan pusingan 16 antara Tractor FC dan Shabab Al Ahli di suku akhir.
Aksi final dijadual berlangsung pada 25 April di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah. – UTUSAN











