MANILA: Kerajaan Filipina sedang bekerjasama rapat dengan Washington bagi mendapatkan pengecualian khas untuk membeli bekalan minyak dari negara-negara yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) demi menjamin keselamatan tenaga negara.
Filipina yang amat bergantung kepada bahan api import, pada Selasa mengisytiharkan darurat tenaga nasional bagi menangani kesan sampingan daripada peperangan di Asia Barat, termasuk kesukaran dalam perolehan bekalan minyak mentah.
“Kami sedang berunding dengan Jabatan Negara AS untuk mendapatkan pelepasan atau pengecualian bagi membeli minyak dari negara-negara di bawah sekatan AS,” kata Duta Filipina ke AS, Jose Manuel Romualdez kepada Reuters.
Ditanya sama ada bekalan minyak dari Venezuela dan Iran turut menjadi sebahagian daripada perbincangan tersebut, Romualdez menyatakan bahawa semua pilihan sedang dipertimbangkan.
Setakat 20 Mac lalu, pihak kerajaan memaklumkan bahawa Filipina mempunyai simpanan bahan api untuk tempoh sekitar 45 hari dan kini dalam proses memperoleh tambahan satu juta tong minyak lagi bagi membina stok penimbal.
Pengisytiharan darurat tersebut, yang akan berkuat kuasa selama setahun, memberi kuasa kepada kerajaan untuk membeli bahan api dan produk petroleum secara terus bagi memastikan bekalan mencukupi serta menepati masa.
Manila juga telah meningkatkan penjanaan tenaga berasaskan arang batu buat sementara waktu susulan tekanan bekalan tenaga yang meruncing.
Selain itu, Filipina dijadualkan menerima import minyak mentah pertama dari Russia dalam tempoh lima tahun minggu ini, selepas mendapat pengecualian selama 30 hari daripada pihak AS.
Jumaat lalu, Washington turut mengeluarkan pelepasan sekatan selama 30 hari bagi pembelian minyak Iran yang sudah berada di laut. . -AGENSI










