BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mendakwa Iran melancarkan bom berangkai beberapa kali sejak permulaan perang, yang tercetus selepas Amerika Syarikat (AS) dan Tel Aviv ke atas republik Islam itu minggu lalu.
“Mereka menggunakan peluru berangkai. Mereka menggunakannya berkali-kali, yang merupakan jenayah perang apabila ia ditujukan kepada orang awam dan kami sedang memantau situasi itu,” kata jurucakap tentera, Nadav Shoshani, pada sidang media semalam tanpa memberikan butiran lanjut.
Iran mahupun Israel bukan antara lebih daripada 100 negara yang menandatangani Konvensyen Peluru Berangkai 2008, yang melarang penggunaan, pemindahan, pengeluaran dan penyimpanan bom berangkai.
Rakaman AFP pada malam Khamis menunjukkan sekumpulan projektil terbakar jatuh di langit di kawasan tengah Israel.
Polis tidak mengulas mengenai kejadian itu, tetapi seorang pakar tentera yang meneliti rakaman untuk AFP mengesahkan ia merupakan sebahagian daripada bom berangkai.
Polis Israel pada Rabu lalu mendakwa pakar pemusnah bom menemukan bukti penggunaan bom berangkai selepas peluru berpandu daripada Iran dikesan memasuki wilayah Israel.
Disebabkan peraturan penapisan tentera yang berkuat kuasa sejak permulaan perang dengan Iran, kawasan impak biasanya ditutup kepada orang awam termasuk wartawan sehingga ia dibersihkan daripada serpihan peluru berpandu dan bahan letupan yang belum meletup.
Pada Jumaat, polis juga menerbitkan pengumuman perkhidmatan awam, di mana seorang pakar pemusnah bom menjelaskan bahaya bom berangkai.
Semasa perang 12 hari Israel dengan Iran pada Jun 2025, pertubuhan bukan kerajaan Amnesty International melaporkan penggunaan bom berangkai oleh republik Islam itu, yang kebanyakannya diharamkan di peringkat antarabangsa.- AFP










