TEL AVIV: Perbelanjaan ketenteraan Israel dalam tempoh 20 hari pertama perang menentang Iran mencecah kira-kira AS$6.4 bilion (RM25.2 bilion), lapor akhbar Haaretz yang memetik sumber tanpa nama.
Menurut laporan itu, perbelanjaan harian dianggarkan sekitar satu bilion shekel (RM1.2 bilion) sepanjang tempoh berkenaan.
Jumlah keseluruhan bajet yang diperuntukkan bagi menguruskan perang tersebut adalah sekitar AS$12.5 bilion (RM49.2 bilion), dengan sumber mendakwa kadar perbelanjaan semasa boleh digunakan untuk menganggarkan tempoh kempen itu dapat diteruskan.
Tentera Israel dilaporkan sedang bersedia untuk memohon peruntukan tambahan bagi menampung kos operasi, menurut laporan berkenaan.
Kerajaan Israel meluluskan peruntukan bajet kecemasan berjumlah AS$825 juta (RM3.2 bilion) pada Ahad bagi perolehan ‘bekalan keselamatan mendesak’ susulan laporan kekurangan peluru berpandu pemintas.
Tel Aviv dijangka meminda pelan perbelanjaan 2026 bagi membiayai pembelian tersebut, lapor Channel 12.
Angka itu menambah gambaran beban kewangan yang semakin meningkat akibat konflik berkenaan. Amerika Syarikat (AS) telah membelanjakan kira-kira AS$12 bilion (RM47 bilion) sejak permulaan operasi ketenteraan, kata penasihat ekonomi Rumah Putih, Kevin Hassett pada Ahad.
Secara berasingan, Pentagon turut memohon kepada Rumah Putih untuk meluluskan pakej pembiayaan tambahan melebihi AS$200 bilion (RM787 bilion) bagi dibentangkan kepada Kongres.
Serangan bersama AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari dan dilaporkan telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.










