BESUT: Kerinduan sepasang suami isteri terhadap anaknya yang maut dalam kemalangan melibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun lalu, semakin mencengkam jiwa lebih-lebih lagi ketika umat Islam menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.
Bagi Mohd. Sofian Abdul Rani, 53, dan Nor Hayati Mat Hassan, 48, pemergian Mohammad Aqil Taqiuddin atau mesra dipanggil Aqil, iaitu anak ketiga dari enam beradik seolah-olah kehilangan ‘sinar’ di rumah mereka.
Nor Hayati berkata, Allahyarham Mohammad Aqil Taqiuddin adalah anak yang periang dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja, malah sikapnya yang suka mengusik adik-beradiknya menyerikan lagi kehidupan keluarga kecil mereka.
“Aqil adalah anak yang ringan tulang dan setiap pekerjaan rumah dilakukan tanpa disuruh selain suka membantu saya dan bapanya.
“Selain itu, Aqil tidak suka menyusahkan kami dan banyak berdikari serta mengusahakan sendiri sekiranya ingin mendapatkan sesuatu yang diinginkannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Gong Bayor, di sini.
Menurut Nor Hayati, boleh dikatakan setiap kali Ramadan, Allahyarham Mohammad Aqil Taqiuddin mengambil kesempatan bekerja sementara di gerai minuman di bazar di kampung tersebut.
Katanya, menjelang hari lebaran, lazimnya Allahyarham Mohammad Aqil Taqiuddin
tidak melepaskan peluang menghias kawasan luar rumah dengan sinaran pelita dan lampu berwarna-warni.
“Bagi Allahyarham dengan memasang pelita dan lampu sambutan malam raya menjadi lebih meriah dan seolah-olah menunjukkan semangat berkobar-kobar untuk menyambut Aidilfitri.
“Tetapi selepas ketiadaan arwah tiada lagi yang melakukan kerja-kerja tersebut dan ia menguatkan rasa rindu yang ditanggung kami sekeluarga,” katanya.
Lebih memeritkan, katanya, arwah adalah anak harapan mereka untuk membantu membaiki ekonomi keluarga pada masa depan kerana dia satu-satunya anaknya yang ke menara gading.
Meskipun begitu, mereka tetap reda dengan ketentuan Ilahi dan hanya doa yang dikirimkan buat Allahyarham Mohammad Aqil Taqiuddin. – UTUSAN










