Houthi ancam campur tangan jika perang Iran berlarutan

Houthi ancam campur tangan jika perang Iran berlarutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Kumpulan Houthi di Yemen memberi amaran bersedia campur tangan secara ketenteraan sekiranya negara lain menyertai Amerika Syarikat (AS) dan Israel dalam perang terhadap Iran.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, kumpulannya bersedia memegang senjata untuk terlibat secara ketenteraan jika sebarang pakatan baharu menyokong Washington dan Tel Aviv menentang Iran serta sekutunya.

“Kami menegaskan jari kami berada di picu untuk campur tangan ketenteraan secara langsung,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kelmarin.

Beliau berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya wujud pakatan baharu yang menyokong AS dan Israel menentang Iran, atau Laut Merah digunakan untuk operasi bermusuhan terhadap sekutunya.

Katanya, Houthi bersedia bertindak jika peningkatan serangan terhadap Iran dan ‘paksi penentangan’ berterusan, namun tidak menjelaskan bentuk campur tangan yang akan diambil.

Amaran Houthi meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan pertembungan serantau semakin meluas, memandangkan kemampuan mereka menyerang sasaran jauh dari Yemen dan mengganggu laluan perkapalan di sekitar Semenanjung Arab.

Sekutu Iran di Lubnan dan Iraq sudah menyertai konflik di rantau itu, yang tercetus susulan serangan AS dan Israel ke atas Teheran.

Setakat ini, Houthi belum mengumumkan penyertaan langsung dalam perang tersebut, walaupun mereka memiliki keupayaan ketenteraan dan kedudukan geografi strategik menghadap Laut Merah.

Dalam ucapannya, Yahya berkata, kumpulan itu tidak akan membenarkan Laut Merah digunakan untuk ‘operasi bermusuhan’ terhadap Iran atau mana-mana negara Islam.

Beliau juga memberi amaran supaya sekatan ke atas Yaman tidak diperketatkan lagi, selain menyeru serangan AS-Israel terhadap Iran dan negara sekutu termasuk Palestin, Lubnan serta Iraq dihentikan segera.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN