Harimau Malaya tewas 3-1 kepada Vietnam

Harimau Malaya tewas 3-1 kepada Vietnam

PEMAIN Malaysia, Endrick Dos Santos (kiri) mengasak pemain Vitenam dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam tadi.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian skuad Harimau Malaya untuk pulang dengan keputusan positif pada aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 tidak kesampaian apabila tewas 3-1 kepada Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, sebentar tadi.

Keputusan itu menghadiahkan kekalahan pertama kepada pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang sebelum ini mencatat rekod cemerlang tanpa kalah dalam lapan perlawanan rasmi sejak mengambil alih pasukan kebangsaan awal tahun lalu, sekali gus meletakkan harapan tinggi dalam kalangan penyokong terhadap kemampuannya mengemudi skuad negara.

Namun, rekod bersih tersebut tidak mengambil kira beberapa keputusan terdahulu yang menyaksikan Malaysia dihukum kalah 3-0 bagi tiga aksi persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin serta dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam dan Nepal oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Namun ia bukan kekalahan atas padang yang dialami Cklamovski, sebaliknya hukuman daripada FIFA dan AFC susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero.

Dalam perlawanan di Nam Dinh, tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Do Duy Manh menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Truong Tien Anh seawal minit keenam.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Harimau Malaya cuba bangkit dan mencipta beberapa peluang berbahaya, termasuk percubaan daripada Faisal Halim pada minit ke-11 sedikit tersasar.

Tidak lama kemudian, giliran Stuart Wilkin pula menguji kubu Vietnam menerusi rembatan jarak jauh, tetapi percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol tuan rumah, Nguyen Filip.

Harapan untuk melihat kebangkitan pada babak kedua tidak kesampaian apabila Vietnam menambah dua lagi gol dalam tempoh lapan minit menerusi tandukan pemain naturalisasi, Nguyen Xuan Son pada minit ke-51 dan 59.

Skuad negara hanya mampu merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Endrick Dos Santos pada minit ke-77.

Keputusan tersebut menyaksikan Harimau Malaya gagal menutup kempen kelayakan dengan kemenangan, sekali gus terlepas peluang mengutip mata penting untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Sebaliknya, buat Vietnam mereka mencatat rekod bersih dalam aksi kelayakan dengan mengutip 18 mata maksimum daripada enam perlawanan, sekali gus mengesahkan status mereka sebagai juara Kumpulan F selepas lebih awal mengesahkan tiket ke pusingan akhir di Arab Saudi tahun
depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN