LONDON: Hanya 77 kapal dilaporkan melalui Selat Hormuz setakat bulan Mac, berikutan perang di Asia Barat yang mengganggu satu daripada laluan perkapalan paling penting di dunia.
Firma data maritim, Lloyd’s List Intelligence berkata, kebanyakan kapal berkenaan tergolong dalam ‘armada bayangan’, yang digunakan untuk mengelak sekatan dan peraturan Barat, biasanya dikaitkan dengan Russia dan Iran.
Kapal tersebut biasanya sudah uzur, berada dalam keadaan teruk, tiada insurans sah dan pemilikan yang tidak jelas.
77 transit direkodkan setakat bulan ini berbanding 1,229 kapal melalui selat itu antara 1 hingga 11 Mac tahun lalu.
Pengawal Revolusi Iran hampir menutup sepenuhnya Selat Hormuz, laluan strategik yang menyumbang 20 peratus bekalan minyak global.
Sejak awal bulan Mac, 20 kapal perdagangan, termasuk sembilan kapal tangki minyak, diserang atau dilaporkan terlibat dalam insiden, menurut agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UK).
Sementara itu, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) mengesahkan 16 insiden di kawasan berkenaan, termasuk lapan melibatkan kapal tangki minyak.
Pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, pada Khamis berkata langkah untuk menyekat Selat Hormuz mesti digunakan.
Strategi itu bertujuan menjejaskan ekonomi global sebagai tekanan ke atas Amerika Syarikat (AS).
“Lebih separuh daripada kapal tangki dan kapal pengangkut gas yang melaluinya adalah daripada armada bayangan.
“Kapal-kapal ini memang digunakan untuk menghadapi gangguan, justeru lebih cenderung untuk mencuba laluan itu,” kata penganalisis kanan di Lloyd’s List Intelligence, Bridget Diakun.
Menurut firma itu, kapal yang bergabung dengan Iran menyumbang 26 peratus daripada transit melalui Hormuz, diikuti oleh Greece dengan 13 peratus dan China 12 peratus.
“Intipati utama di sini ialah… Iran masih mengeksport,” kata Diakun.
Secara berasingan, AFP mengira kira-kira 40 kapal yang telah melalui Selat Hormuz sejak permulaan konflik, mengambil kira hanya kapal yang mengekalkan transponder AIS, sistem pengenalan automatik, dalam keadaan aktif.










