KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) melakukan rombakan struktur ahli Majlis Tertinggi termasuk melantik Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ke jawatan Setiausaha Agung PN bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selain Takiyuddin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN bagi menggantikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pada masa sama, struktur jawatan Timbalan Setiausaha Agung PN kini dijawat oleh tiga wakil iaitu Mohamed Azmin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wong Chia Zhen mewakili Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Datuk Sivakumar Krishnan daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengumumkan pelantikan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan PN berkuat kuasa serta merta.
Selain itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin pula dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN bagi menggantikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang kini diletakkan sebagai Bendahari Agung PN.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin digugurkan daripada jawatannya sebagai Ketua Wanita PN dengan digantikan oleh Pemangku Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
“Agenda utama mesyuarat hari ini adalah pemilihan dan pelantikan pegawai-pegawai PN berdasarkan Fasal 8.2 dan Fasal 8.3 Perlembagaan PN.
“Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN ditangguhkan ke mesyuarat akan datang setelah lawatan kerja dilakukan oleh saya ke semua negeri selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, hari ini.
Pada 29 Disember lalu, Mohamed Azmin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa 1 Januari, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN. – UTUSAN









