PARIS: Penyedia imej resolusi tinggi dari angkasa lepas, Planet Labs PBC, akan menangguhkan penyediaan imej satelit bagi negara-negara Teluk yang menjadi sasaran serangan dron Iran selama 96 jam.
Imej satelit yang dihasilkan oleh syarikat berpangkalan di California itu biasanya tersedia hampir serta-merta kepada pelanggannya, termasuk AFP, media lain, syarikat, penyelidik dan potensi musuh Amerika Syarikat (AS).
Dalam mesej kepada pelanggan, Planet menyatakan langkah ‘sementara’ itu adalah sebahagian daripada komitmennya terhadap amalan data yang bertanggungjawab dan keselamatan kakitangan di lapangan, susulan tercetusnya perang di Asia Barat.
Syarikat itu tidak menyatakan sama ada ia bertindak atas permintaan pihak berkuasa AS. Imej Iran tidak termasuk dalam arahan penangguhan ini.
“Semua imej baharu yang dikumpul di atas negara-negara Teluk dan zon konflik bersebelahan (tidak termasuk Iran) akan tertakluk kepada tempoh penangguhan 96 jam sebelum dimasukkan ke arkib kami.
“Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan pihak musuh daripada mengancam keselamatan anggota sekutu dan NATO serta orang awam di kawasan tersebut. Seiring dengan perkembangan konflik, kawasan yang terjejas mungkin akan berubah,” tambah Planet.
Sebelum ini, Planet mengenakan penangguhan 30 hari ke atas imej yang diambil di wilayah Gaza yang dilanda perang.
Vantor, pembekal satelit lain dari AS yang sebelum ini dikenali sebagai Maxar, tidak pernah menyiarkan imej pangkalan tentera pasukan AS atau sekutu mereka.- AFP










