PETALING JAYA: Sejarah yang terpahat dalam al-Quran tidak wajar dipandang ringan, sebaliknya perlu dijadikan wahana penting untuk memperbaiki kedudukan manusia, mengambil ibrah daripada pengalaman silam serta membimbing umat menghadapi cabaran semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ramadan bukan sekadar sarat dengan rutin ibadah puasa, tilawah al-Quran dan solat tarawih, malah turut mengangkat peristiwa agung penurunan wahyu yang menjadi mukjizat dengan daya transformasi luar biasa.
Menurut beliau, melalui mukjizat tersebut, masyarakat jahiliah berjaya dibentuk menjadi khayra ummah seperti generasi para sahabat yang dikenali sebagai generasi al-Quran.
“Melaluinya, masyarakat jahiliah berjaya dibentuk menjadi khayra ummah, sebagaimana generasi para sahabat yang dikenal sebagai generasi al-Quran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, al-Quran bukan sahaja memenuhi maqasid penurunannya dalam memperkukuh akidah dan memuliakan insan, malah turut merakamkan misi islah melalui kisah sejarah perjuangan para rasul sebagai pedoman kepada umat.
“Moga kita menjadikan al-Quran sebagai pedoman yang memandu langkah kita, memperkukuh akidah, memaknai kehidupan serta membina sebuah masyarakat yang sejahtera dan berperadaban,” katanya. – UTUSAN










