Fasa peralihan Monsun bermula 29 Mac

Fasa peralihan Monsun bermula 29 Mac

MOHD. HISHAM MOHD. ANIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat perlu bersiap sedia dan peka menghadapi ancaman cuaca ekstrem susulan fasa peralihan Monsun yang dijangka membadai negara bermula 29 Mac ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan fasa peralihan Monsun kepada negara dijangka akan berterusan sehingga Mei ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, permulaan fasa ini sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula sejak 13 November tahun lepas.

“Fenomena cuaca tersebut berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur bangunan atau binaan yang tidak kukuh.

“Negara akan mengalami fasa peralihan Monsun bermula pada 29 Mac ini dan dijangka berterusan sehingga Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semasa fasa peralihan, rantau negara akan turut menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan berlaku pembentukan awan ribut petir.

“Keadaan ini lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam.

“Kawasan yang dijangka terkesan meliputi kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada sepanjang tempoh berkenaan serta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

Maklumat terkini boleh didapati melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia atau Hotline Jabatan di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN