BURIRAM: Aksi dramatik mewarnai tirai pembukaan musim MotoGP 2026 di Thailand apabila Marco Bezzecchi mempamerkan tunggangan sempurna untuk menjuarai perlumbaan, sementara impian Marc Marquez lebur akibat kerosakan jentera ketika saingan berbaki lima pusingan.
Pelumba Aprilia itu tidak menoleh ke belakang selepas memanfaatkan petak utama, memimpin sejak lampu hijau dipadamkan sehingga melepasi garisan penamat di Litar Antarabangsa Chang, sekali gus menghadiahkan kemenangan bergaya buat pasukannya.
Di belakangnya, bakat muda sensasi Sepanyol, Pedro Acosta, terus mengukuhkan reputasi apabila meraih tempat kedua bersama KTM, manakala Raul Fernandez melengkapkan podium di kedudukan ketiga bersama Trackhouse.
Namun tumpuan terarah kepada Marquez. Ketika pelumba Ducati itu sedang mengintai peluang untuk merampas kedudukan podium, dia tersasar di satu selekoh kritikal. Hentakan kuat menyebabkan tayar belakang terkeluar daripada kedudukan asal dan rim motosikal rosak, memaksanya menarik diri dalam suasana penuh kecewa.
Lebih perit, bekas juara dunia itu sebenarnya sudah bangkit selepas permulaan kurang kemas dan mula merapati kelompok hadapan. Kesilapan kecil akhirnya membawa padah besar buat pelumba berusia 33 tahun itu yang memburu gelaran dunia kelapan.
Bagi Bezzecchi, kemenangan ini ibarat penebusan dosa selepas terjatuh dalam perlumbaan pecut, semalam. Pelumba Itali itu sebelum ini sudah memberi amaran awal apabila mencatat masa terpantas dalam ketiga-tiga sesi latihan selain memecahkan rekod litar ketika kelayakan.
Lebih manis, kejayaan di Buriram melengkapkan hatrik kemenangan buatnya sejak penghujung musim lalu, sekali gus mengesahkan statusnya antara pencabar utama musim ini.
Acosta pula membuktikan kematangannya apabila menahan asakan Fernandez hingga ke garisan penamat. Pelumba berusia 21 tahun itu sebelum ini mencuri tumpuan apabila memenangi perlumbaan pecut selepas Marquez dikenakan penalti.
Sementara itu, juara dunia 2024, Jorge Martin, menamatkan saingan di tempat keempat, diikuti Ai Ogura (kelima) dan Fabio Di Giannantonio di kedudukan keenam.
Pelumba KTM, Brad Binder, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, manakala Francesco Bagnaia sekadar kesembilan selepas memulakan saingan dari petak ke-13. Adik Marquez, Alex Marquez, turut berputih mata apabila gagal menghabiskan perlumbaan susulan kemalangan di penghujung aksi.-AGENSI










