TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) menanggung kerugian hampir RM12 bilion akibat kerosakan dan kemusnahan peralatan ketenteraan, termasuk peluru berpandu dan dron, ketika perang AS-Israel menentang Iran memasuki bulan kedua.
Wall Street Journal melaporkan, kerugian dalam tempoh tiga minggu pertama konflik dianggarkan antara AS$1.4 bilion (RM5.6 bilion) hingga AS$2.9 bilion (RM11.6 bilion), menurut bekas pegawai bajet Pentagon, Elaine McCusker.
Jumlah itu melibatkan tiga pesawat pejuang F-15E yang ditembak jatuh secara tidak sengaja oleh pesawat Kuwait pada 1 Mac, manakala sebuah jet halimunan F-35 melakukan pendarataan cemas pada 16 Mac selepas dilaporkan diserang.
Selain itu, dua pesawat pengisi minyak KC-135 di ruang udara Iraq yang mengorbankan enam anak kapal turut musnah, manakala lima lagi pesawat KC-135 rosak dalam serangan peluru berpandu Iran ke atas Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi dan kini sedang dibaiki.
Lebih 12 dron MQ-9 Reaper dilaporkan hilang, termasuk beberapa yang ditembak jatuh oleh peluru berpandu dan selebihnya musnah di darat.
Serangan Iran turut merosakkan pesawat dan sistem radar di pangkalan tentera AS di Arab Saudi, Qatar dan Jordan.
Pentagon merancang untuk menggantikan sebahagian sistem yang rosak melalui cadangan perbelanjaan tambahan bernilai AS$200 bilion (RM802 bilion).
Setakat ini, kira-kira 13 tentera AS terbunuh dan sekurang-kurangnya 290 lagi cedera sejak konflik bermula.
Sebulan selepas perang antara AS dan Israel ke atas Iran, landskap Asia Barat kini kelihatan jauh berbeza, dengan kesannya dirasai di seluruh dunia.
Harga tenaga melonjak, keganasan semakin memuncak di rantau itu, manakala usaha untuk mencapai penyelesaian diplomatik terus dibayangi retorik agresif dan ancaman peningkatan konflik daripada kedua-dua pihak.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghadapi dilema sukar selepas sebulan berperang menentang Iran, sama ada memeterai perjanjian dan berundur atau meningkatkan tindakan ketenteraan dengan risiko berpanjangan.
Usaha diplomatik Trump terhadap Iran, termasuk cadangan damai 15 perkara yang dihantar melalui ‘pintu belakang’ dengan Pakistan, menunjukkan keperluan mendesak beliau mencari jalan keluar daripada konflik.











