TEHERAN: Sekurang-kurangnya 120 tapak budaya dan bersejarah Iran dilaporkan rosak teruk sejak serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel bermula, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemusnahan warisan berusia ribuan tahun.
Ketua Jawatankuasa Warisan Majlis Bandaraya Teheran, Ahmad Alavi berkata, muzium, bangunan bersejarah dan tapak budaya di seluruh negara menjadi sasaran langsung serangan dan mengalami kerosakan struktur serius.
Antara lokasi terjejas termasuk Istana Golestan yang diiktiraf UNESCO, selain Istana Marble, rumah Teymourtash dan kompleks Istana Saadabad, sebagai tarikan utama di ibu negara.
Kompleks Saadabad bukan sahaja menempatkan muzium dan taman bersejarah, malah turut menjadi lokasi kediaman rasmi presiden Iran serta berhampiran kemudahan keselamatan penting negara.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya empat tapak warisan dunia UNESCO rosak setakat ini, termasuk Istana Chehel Sotoun dan Masjid Jame di Isfahan serta tapak prasejarah di Lembah Khorramabad.
Konflik yang bermula pada 28 Februari itu bukan sahaja mencetuskan perang serantau, malah kini mengancam khazanah sejarah Iran yang selama ini kekal terpelihara daripada kerosakan besar.- AFP











