PETALING JAYA: Seramai 11 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam pertukaran jawatan yang diumumkan hari ini.
Pertukaran itu membabitkan beberapa pegawai kanan termasuk yang memegang jawatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta ketua polis daerah.
Setiausaha Polis Malaysia, Abdul Rahman Kassim berkata, mendahului senarai iaitu Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mohd Faisal Yahya dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).
Selain itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abd Rahman Atan yang sebelum ini merupakan Ketua Urus Setia KPN (Perundangan) PDRM di Pejabat KPN Bukit Aman pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
“Turut bertukar iaitu Penolong Pengarah E7A Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Mohamed Roslan Ahmed Junaidi dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E7 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Asisten Komisoner Polis Helmi Aris dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Johor dengan memangku pangkat SAC.
Ujarnya, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisoner Mohamad Lazim Ismail pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
“Turut terlibat dalam pertukaran ialah Asisten Komisoner Che Haniza Che Senapi yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Koordinasi Sumber Sokongan) Bahagian Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
“Sementara itu, Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di Jabatan Perdana Menteri, Asisten Komisoner Annas Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju,” jelasnya.
Ujarnya, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superinteden Azari Miskon dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sibu, Sarawak.
Turut terlibat dalam pertukaran ialah Superintenden Johar Dasuki yang dilantik sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Negeri Sembilan dengan memangku pangkat ACP.
“Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superinteden Champin Piuh pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Beaufort, Sabah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Khalid Mohamad dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Muallim, Perak. – UTUSAN











