PETALING JAYA: Menyelesaikan isu tertunggak antara kedua-dua negara antara perkara dibincangkan dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong semalam.
Anwar berkata, perbincangan menyentuh mengenai langkah untuk mempererat persahabatan Malaysia dan Singapura serta memperkukuh kerjasama dalam menyelesaikan isu tertunggak membabitkan kedua-dua negara.
“Saya amat menghargai kunjungan Perdana Menteri Lawrence yang menjadi manifestasi persahabatan kedua-dua negara, di samping memperteguhkan hubungan peribadi antara kami.
“Semoga pertemuan ini serta keberkatan Ramadan terus menyuburkan persefahaman dan kemakmuran berpanjangan kepada rakyat Malaysia dan Singapura,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Beliau turut menyifatkan pertemuan dengan Lawrence cukup bermakna kerana ia berlangsung di sebuah rumah agam berusia lebih seabad yang juga saksi kepada pelbagai detik penting sejarah, termasuk pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 serta Perjanjian Kemerdekaan pada 1957.
“Saya dan PM Lawrence meneruskan coretan sejarah ini dalam pertemuan selama hampir tiga jam.
“Kami sempat meninjau serta mendengar penerangan mengenai sejarah dan usaha pemuliharaan Seri Negara menerusi inisiatif Warisan Kuala Lumpur,” katanya.
Pada pertemuan itu, Anwar turut menganjurkan majlis makan malam sempena lawatan khas Lawrence.
Sementara itu, Lawrence menzahirkan penghargaan kepada rakan sejawatnya itu, atas undangan berbuka puasa semasa lawatan khas beliau ke Malaysia.
“Terima kasih PM Anwar Ibrahim atas undangan untuk menyertai anda berbuka puasa di Kuala Lumpur, bertempat di Seri Negara yang bersejarah.
“Saya amat menghargai layanan mesra yang diberikan serta peluang untuk bertukar-tukar pandangan secara terbuka mengenai pelbagai isu.
“(Saya) Mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang penuh barakah kepada anda dan seluruh rakyat Malaysia. Saya menantikan pertemuan kita yang seterusnya,” katanya. – UTUSAN










