Tiada keperluan Perlembagaan untuk pilihan raya Datuk Bandar 

Tiada keperluan Perlembagaan untuk pilihan raya Datuk Bandar 

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan Pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dan ahli Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mempunyai keperluan perlembagaan serta berpotensi menjejaskan tadbir urus Wilayah Persekutuan.

Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kedudukan Kuala Lumpur berbeza berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain kerana ia merupakan Wilayah Persekutuan yang ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ia menjadikan DBKL sebuah entiti pentadbiran persekutuan, bukan di bawah kuasa negeri. Peruntukan perlembagaan memberi kuasa penuh kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang bagi Wilayah Persekutuan seolah-olah ia badan perundangan negeri. 

“Maka, tidak timbul keperluan perlembagaan atau statutori untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi DBKL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainul Rijal berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang hak khusus untuk pilihan raya kerajaan tempatan kerana hak memilih yang dijamin secara jelas hanya terpakai kepada pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Oleh itu, ketiadaan pilihan raya DBKL tidak boleh dianggap sebagai pencabulan hak demokratik. Pilihan raya lain hanya boleh diadakan jika diperuntukkan melalui undang-undang persekutuan atau negeri,” katanya.

Menurut beliau, pentadbiran bandar raya melibatkan keputusan teknikal dan kompleks termasuk perancangan guna tanah, pengangkutan awam dan keselamatan yang memerlukan kepakaran serta kesinambungan pentadbiran tanpa tekanan politik jangka pendek.

“Pilihan raya Datuk Bandar boleh mewujudkan pertindihan mandat antara Datuk Bandar yang dipilih secara politik dengan Kerajaan Persekutuan yang masih mengawal aspek penting seperti tanah, kewangan dan keselamatan, sekali gus menimbulkan risiko konflik dasar dan keputusan ultra vires.

“Di bawah sistem Westminster, menteri bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen terhadap DBKL. Prinsip ini boleh terjejas jika Datuk Bandar dipilih melalui pilihan raya. 

“Sebagai ibu negara, Kuala Lumpur menempatkan institusi Persekutuan, misi diplomatik asing dan infrastruktur strategik, justeru pentadbirannya melibatkan kepentingan keselamatan serta nasional yang melangkaui isu tempatan semata-mata,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan sejak 1965 yang dibuat atas pertimbangan kestabilan negara dan kekal sebagai dasar konsisten merentas kerajaan tanpa pernah diputuskan mahkamah sebagai bercanggah Perlembagaan.

Media sebelum ini melaporkan sebarang keputusan berkait cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur hanya akan diputuskan selepas hasil kajian diperoleh daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian tersebut sedang dijalankan bagi menilai kesesuaian cadangan berkenaan sebelum ia dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN