DOHA: Jannik Sinner mempamerkan aksi meyakinkan apabila mudah menundukkan Tomas Machac 6-1, 6-4 pada pusingan pertama Terbuka Qatar dalam perlawanan sulungnya sejak gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia bulan lalu.
Pemain ranking kedua dunia dari Itali itu hanya memerlukan aksi bertenaga selama dua set untuk menewaskan pemain Czech yang menghuni ranking ke-31 dunia bagi mengatur pertemuan pusingan kedua menentang Alexei Popyrin.
Kemenangan tersebut menjadi tonik penting buat Sinner selepas kekecewaan tersingkir di separuh akhir di tangan Novak Djokovic di Melbourne Park, sekali gus memadam persoalan mengenai momentumnya menjelang fasa awal musim.
Lebih mengagumkan, juara empat kali Grand Slam itu hanya kehilangan enam mata sepanjang sembilan game servisnya, memperlihatkan dominasi mutlak ketika memegang servis.
Sinner menyapu set pertama dalam tempoh kurang 30 minit dengan rentak agresif dan pukulan dasar gelanggang yang konsisten sehingga menyukarkan Machac mencari ruang kebangkitan.
Walaupun Machac memperkemaskan permainan dalam set kedua, satu break pada game kelima sudah cukup untuk memastikan Sinner terus berada di landasan kemenangan.
Namun, pemain Itali itu terpaksa bekerja lebih keras untuk menamatkan perlawanan apabila memerlukan lima mata kemenangan sebelum mengesahkan kemaraan. – AGENSI










