PETALING JAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan pihaknya bakal menganjurkan Liga Hoki Malaysia (MHL) pada suku kedua musim 2026, susulan pertandingan di peringkat antarabangsa serta sambutan hari perayaan yang jatuh pada awal tahun.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ketika ini Speedy Tigers sedang melakukan persiapan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026 pada 28 Februari hingga 8 Mac ini di Ismailia, Mesir.
“Dan kita semua maklum Ramadan pada Februari dan kemudian sambutan Hari Raya Aidilfitri maka kemungkinan besar kita adakan pada suku kedua tahun ini.
“Format liga pun saya rasa jawatankuasa pertandingan akan bincangkan kerana mereka telah berbincang dengan pasukan yang akan mengambil bahagian.
“Saya difahamkan kemungkinan besar lapan hingga 10 pasukan lelaki dan wanita bakal mengambil bahagian. Itu saya biarkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM (Datuk Seri Dr Anil Sandhu) maklumkan,” katanya.
Pasukan Hoki Terengganu (THT) muncul juara MHL musim lalu dan itu merupakan kejuaraan buat kali ketujuh pasukan selepas memenanginya pada edisi 2014, 2015, 2016, 2018, 2022, dan 2023.
Mengulas lanjut, Subahan berkata, KHM turut menerima cadangan daripada pasukan yang mengambil bahagian untuk memanjangkan tempoh saingan liga tersebut.
“Bukan soal KHM tak nak panjangkan liga tapi hoki masalahnya kejohanan di luar negara terlalu banyak.
“Bila tempoh dipanjangkan maka pemain kebangsaan tak boleh bermain, jadi tak adil kepada kelab. Apa-apa pun jawatankuasa pertandingan akan mempertimbangkannya, kita tak tahu mungkin tahun ini liga kita lebih panjang berbanding tahun lalu,” katanya.-UTUSAN










