Mei Xing hilang pasangan lagi, Zhing Hui gandingan sementara

Mei Xing hilang pasangan lagi, Zhing Hui gandingan sementara

Ketika ditanya pula mengenai punca perpisahan dengan Pei Kee, jelas Mei Xing, keputusan berkenaan dibuat sendiri oleh pasangannya itu dan dia perlu menghormati kemahuan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nasib kurang menyebelahi pemain beregu wanita negara, Teoh Mei Xing, apabila dia buat kali kedua terpaksa bertukar pasangan selepas Go Pei Kee mengambil keputusan mengundur diri daripada terus bergandingan dengannya.

Sebelum ini, Mei Xing berpasangan dengan Anna Cheong, tetapi, malangnya pemain itu ditimpa kecederaan lutut yang serius sehingga memaksanya meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas pemergian Anna, pemain berusia 28 tahun itu kemudiannya digandingkan dengan Pei Kee sejak 2024, tetapi, nampaknya ‘jodoh’ mereka juga tidak panjang.

Kini buat kali ketiga, Mei Xing dipasangkan dengan seorang pemain remaja, Tan Zhing Hui, 19, dan sekali lagi, anak jati Selangor itu terpaksa bermula dari bawah dalam usahanya mencari keserasian

Mei Xing berkata, berpasangan dengan Zhing Hui buat masa ini bersifat sementara dengan kejohanan Cabaran Antarabangsa Singapura pada 24 Februari-1 Mac menjadi ujian pertama buat mereka berdua.

“Sebenarnya tiada yang pasti mengenai pasangan baharu saya, cuma buat masa ini saya akan berpasangan dengan Tan Zhing Hui dalam dua kejohanan iaitu pada Cabaran Antarabangsa Singapura dan Siri Antarabangsa Singapura (3-8 Mac),” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Jumaat lalu.

Menurut Mei Xing, Zhing Hui sebenarnya berpasangan dengan Gan Min Yee, tetapi, rakan gandingnya itu ditimpa kecederaan ketika ini.

Katanya, dia akan berpasangan dengan Zhing Hui sehinggalah Min Yee kembali semula ke gelanggang.

Ketika ditanya pula mengenai punca perpisahan dengan Pei Kee, jelas Mei Xing, keputusan berkenaan dibuat sendiri oleh pasangannya itu dan dia perlu menghormati kemahuan tersebut.

“Ini bukan berita baik untuk saya dan saya pula tidak boleh mengubah fikiran dia. Sudah tentu saya terkejut dan sedih,” katanya.

Mei Xing tidak berasakan keputusan sepanjang tahun lalu terlalu buruk sehingga menjadi punca kepada perpisahan tersebut.

“Saya masih berasakan pencapaian kami tahun lepas masih boleh diterima dan diperbaiki, tetapi, saya tidak boleh baca apa yang dia fikir,” katanya lagi.

Mei Xing-Pei Kee berjaya mendaki ke tangga No. 18 dunia sebelum jatuh ke ranking No. 23 dunia, dengan Kejohanan Malaysia Super 100 pada 2024 menjadi satu-satunya gelaran berjaya diraih beregu tersebut.

Isu kecederaan dan kesihatan yang melanda Pei Kee antara cabaran terpaksa diharungi beregu wanita No. 2 negara itu dan diharap selepas ini, Mei Xing dapat menemui rakan gandingan yang mampu melonjakkan kariernya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN