Mbappe selamatkan Real di minit akhir

Mbappe selamatkan Real di minit akhir

Penyerang Perancis Real Madrid, Kylian Mbappe (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Vinicius Junior (tengah) selepas menjaringkan gol kedua pasukan pada perlawanan Liga Sepanyol menentang Rayo Vallecano di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Kylian Mbappe muncul wira Real Madrid apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-100 untuk memastikan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Rayo Vallecano yang beraksi dengan sembilan pemain dalam aksi derbi La Liga di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan Los Blancos merapatkan jurang kepada satu mata di puncak liga selepas Barcelona menang ke atas Elche sehari lebih awal, sekali gus menghidupkan kembali persaingan kejuaraan.

Real bermula positif apabila Vinicius Junior meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-15, namun kegembiraan itu sedikit tercalar apabila Jude Bellingham terpaksa dikeluarkan awal akibat kecederaan hamstring.

Rayo bangkit menyamakan kedudukan seawal minit keempat separuh masa kedua menerusi Jorge de Frutos, ketika penyokong tuan rumah jelas meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi pasukan mereka.

Pasukan pelawat kemudian berdepan kesukaran besar apabila Pathe Ciss dilayangkan kad merah, diikuti Pep Chavarria yang turut dibuang padang pada penghujung perlawanan.

Kelebihan jumlah pemain dimanfaatkan Real yang terus mengasak, namun hanya berjaya menemui jaringan kemenangan menerusi penalti Mbappe selepas Nobel Mendy menjatuhkan Brahim Diaz dalam kotak penalti.

Jurulatih Real, Alvaro Arbeloa, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil semangat dan jiwa juang tinggi sambil memuji sokongan penyokong Bernabeu yang akhirnya menjadi pemangkin kejayaan pasukannya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN