MA tunggu keputusan JKK

MA tunggu keputusan JKK

Karim Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) bakal melantik barisan kejurulatihan baharu selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Isnin ini.

Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, segala perkara berkaitan penstrukturan semula barisan jurulatih akan dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat tersebut sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Semua akan dibincangkan dalam mesyuarat itu,” jawab Karim ringkas.

Terdahulu, MA dilaporkan lebih mengutamakan jurulatih tempatan bagi mengisi 20 kekosongan jawatan kejurulatihan daripada mendapatkan tenaga pakar dari luar negara.

MA sebelum ini telah memanggil 35 calon jurulatih tempatan bagi melalui sesi temu duga secara berperingkat selamat empat hari bermula Khamis lalu.

Antara nama yang hadir termasuk bekas ketua jurulatih olahraga para negara, R Jaganathan, bekas atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail serta bekas pelari 110 meter berpagar, Mohd Robani Hassan.

Sesi temu duga itu dikendalikan panel membabitkan wakil MA, Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta panel bebas.

Skuad olahraga negara berdepan cabaran getir pada tahun ini apabila terdapat dua temasya besar yang bakal mereka hadapi iaitu Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel Glasgow. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN