KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya dijangka mula beroperasi sebelum Jun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, LRT3 akan beroperasi selepas semua proses ujian, pentauliahan, dan penyelesaian isu teknikal disiapkan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Katanya, setakat ini, dua kumpulan tren melibatkan 14 daripada 22 tren telah selesai menjalani ujian larian tanpa gagal (FFR) manakala kumpulan tren baki lapan unit masih dalam proses ujian FFR selama 22 hari.
“Setakat semalam, masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan. Selepas semua tren selesai menjalani ujian FFR, langkah seterusnya ialah ujian dan pentauliahan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Kesemuanya dijangka disiapkan dalam masa satu hingga dua bulan, jadi jadual baharu sasaran operasi ditetapkan pada Mac tahun ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohd. Hasbie Muda mengenai jaminan mengenai tarikh baharu projek itu selepas beberapa kali mengalami penangguhan.
Anthony Loke berkata, Prasarana Malaysia Berhad sedang mempercepat penyiapan projek dan semua ujian berkaitan supaya laluan itu dapat dibuka lebih awal daripada bulan Jun.
Beliau turut menafikan kelewatan pengoperasian LRT3 berkaitan dengan langkah rasionalisasi kos projek, sebaliknya berpunca daripada isu teknikal yang timbul semasa fasa ujian sistem.
“Apa yang berlaku sekarang adalah isu teknikal, bukannya isu pengurangan kos. Langkah pengurangan kos sebelum ini telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk mekanisme pelaksanaan projek.
“Ketika itu terdapat stesen yang dikurangkan bagi menjimatkan kos. Namun, isu semasa tidak ada kaitan langsung dengan keputusan rasionalisasi kos atau kaedah pelaksanaan projek pada 2018,” katanya. – UTUSAN








