JOHOR BAHRU: Loji Rawatan Air (LRA) Yong Peng menyalurkan tambahan air sebanyak empat juta liter sehari (JLH) ke LRA Simpang Renggam bagi menstabilkan bekalan air di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, LRA Simpang Renggam kini dilaporkan hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.
“Bekalan air di LRA Simpang Renggam berkurangan susulan paras Sungai Benut yang berada pada tahap minimum manakala Empangan Machap berada di bawah paras operasi selamat.
“Pemasangan sistem pontoon di Empangan Machap juga sedang dilaksanakan bagi membolehkan tambahan sehingga 20 JLH air disalurkan ke Sungai Benut untuk menyokong operasi loji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Fazli berkata, operasi pembenihan awan turut dijadualkan pada esok, lusa dan Ahad ini sebagai usaha meningkatkan peluang hujan di kawasan tadahan air.
Katanya, Ranhill SAJ sudah mengaktifkan pengambilan air dari Sungai Lukah sejauh 3.5 kilometer untuk menstabilkan bekalan air di LRA Lok Heng yang kini beroperasi sekitar 40 peratus.
“Di Skudai pula, operasi LRA Skudai yang terhenti sejak 31 Januari lalu akibat paras ammonia yang tinggi susulan aliran sungai yang rendah.
“Bagaimanapun, tiada akaun pengguna terjejas kerana bekalan disokong oleh LRA Semangar, LRA Sungai Layang serta tambahan 25 JLH daripada Agensi Air Negara (PUB) Singapura di Sungai Johor,” katanya.
Menurutnya, fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah untuk memastikan bekalan asas terus sampai kepada rakyat walaupun berdepan cabaran paras air mentah yang rendah.
“Keadaan di lapangan kini, sebanyak 28 lori tangki air sedang beroperasi di Kluang dan Pontian. Kita juga menjangka tambahan 14 lori tangki dari luar Johor hari ini.
“Sementara itu, 15 lagi lori tangki bantuan dari negeri lain yang sudah berada di Johor digerakkan khusus untuk kawasan Pontian dan Simpang Renggam, selain 41 tangki air statik juga ditempatkan di lokasi keutamaan. – UTUSAN










