PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching mencipta kejutan terbesar dalam kariernya selepas membenam bintang No. 8 dunia, Pornpawee Chochuwong pada peringkat 16 terbaik dan sekali gus, mara ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Jerman di Mulheim, Jerman, semalam.
Ling Ching yang menghuni ranking ke-41 dunia dan wakil tunggal negara dalam acara perseorangan meneruskan kemaraan menewaskan pencabar dari Thailand tersebut 21-14, 21-19 dalam masa 38 minit.
Kemenangan itu juga menyaksikan perseorangan kedua Malaysia tersebut berjaya menebus kekalahannya di tangan Pornpawee pada Piala Uber, dua tahun lalu dan mengikat rekod pertemuan mereka berdua menjadi 1-1.
Pada suku akhir, hari ini, anak jati Miri, Sarawak itu akan menghitung pertemuan dengan pemain No. 37 dunia, Han Qian Xi dari China.
Berbeza dengan tuah Ling Ching, beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula ditimpa malang apabila dikejutkan oleh pasangan ke-89 dunia, Julien Maio-William Villeger dari Perancis 15-21, 22-24 dalam masa 40 minit.
Menjelang All England, minggu depan, prestasi turun, naik Aaron-Wooi Yik sedikit membimbangkan apabila mereka terkandas di pusingan kedua selaku pilihan pertama pada kejohanan berstandard Super 300 itu.
Kejohanan yang dianggap sebagai pemanas badan buat Aaron-Wooi Yik yang dilihat mampu menjadi pembangkit semangat bertukar sebaliknya dan kekalahan tersebut harus menjadi satu amaran awal sebelum All England membuka tirai.
Turut terkandas di pusingan kedua, pasangan No. 18 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King yang terpaksa akur dengan kekalahan straight set di tangan Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dari Taiwan 19-21, 21-8, 18-21 dalam masa 57 minit.
Gandingan No. 8 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menjadi satu-satunya beregu lelaki yang berhasil menjejakkan kaki ke suku akhir selepas menewaskan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-18, 21-14 dalam masa 30 minit.
Sze Fei-Izzuddin yang kini kembali berada pada prestasi terbaik mereka akan bertemu beregu No. 11 dunia, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan di peringkat seterusnya.
Sementara itu, pasangan No. 11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai muncul wakil tunggal Malaysia meloloskan diri ke suku akhir dalam acara beregu campuran selepas menewaskan Filip Karlborg-Tilda Sjoo dari Sweden 21-18, 21-11 dalam masa 30 minit.
Kejayaan pasangan suami isteri itu bakal menemukan mereka dengan beregu dari dua negara, Singapura dan Indonesia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja pada peringkat lapan terbaik.
Satu lagi beregu campuran Malaysia yang menghuni ranking No. 24 dunia, Jimmy Wong-Lai Pei Jing ditimpa kekalahan mengejut kepada gandingan Thailand yang berada di tangga ke-77 dunia, Supak Jomkoh-Omnicha Jongsathapornparn 16-21, 20-22 dalam masa 38 minit. – UTUSAN










