Lanjutan kontrak MotoGP mungkin diketahui bulan ini

Lanjutan kontrak MotoGP mungkin diketahui bulan ini

Azhan Shafriman Hanif
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan lanjutan kontrak Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mungkin diketahui dalam bulan ini juga, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif.

Menurut beliau, pihaknya telahpun membentangkan kertas kerja berhubung lanjutan kontrak tersebut kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan setakat ini, masih lagi menunggu giliran untuk di bawa ke dalam Kabinet.

“Insya-Allah, kita akan mendengar berita sama ada positif atau sebaliknya dalam bulan ini juga, kita telah cadangkan untuk lanjutan selama lima tahun, tetapi, keputusan akhir tetap bergantung kepada jawapan Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Malam Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) 2025, semalam.

SIC sebelum ini mendapat penyambungan kontrak bersama Dorna (pemegang hak penganjuran MotoGP) selama dua tahun yang akan berakir pada tahun ini.

Justeru, bagi kontrak baharu tersebut, SIC mengemukakan permohonan lanjutan sama ada 3+2 atau terus disambung untuk tempoh lima tahun.

Bagaimanapun, Azhan Shafriman berharap, lanjutan kontrak itu dapat dibuat untuk tempoh lima tahun akan datang agar projek yang ingin dilaksanakan bersama MotoGP dapat dijayakan.

“Antara projek yang dirancang bersama MotoGP adalah pembinaan pangkalan Asia Talent Cup (ATC) di Sepang yang akan membuka peluang pekerjaan kepada bakat tempatan termasuk jurutera, mekanik dan jurutera data,” ujarnya.

Beliau melahirkan keyakinan, walaupun yuran penganjuran MotoGP dinaikkan antara 10 hingga 15 peratus, tetapi, ia cukup setimpal dengan nilai yang ditawarkan bagi lanjutan kontrak tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta pula berkata, rundingan kontrak bersama SIC berjalan dengan lancar dan menunjukkan satu perkembangan yang positif.

“Kami sememangnya menantikan lanjutan kontrak selama lima tahun lagi bersama SIC kerana ini adalah pasaran yang sangat penting.

“Rundingan yang diadakan sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar dan kini hampir dimuktamadkan, cuma menanti proses secara rasmi bersama kementerian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN