Hakim Danish tidak peduli

Hakim Danish tidak peduli

Hakim Danish Ramli bakal mengharungi musim penuh pertamanya bersama pasukan MT Helmets-MSI, selari dengan jangkaan tinggi yang diletakkan terhadapnya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli menolak dilabel pendatang baharu apabila menegaskan pendekatannya musim ini adalah untuk bersaing secara kompetitif, bukan sekadar menimba pengalaman dalam saingan elit Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Pendekatan berani itu mencerminkan keyakinan tinggi pelumba berusia 19 tahun berkenaan yang bakal mengharungi musim penuh pertamanya bersama pasukan MT Helmets-MSI, selari dengan jangkaan tinggi yang diletakkan terhadapnya.

Dalam saingan Moto3 musim ini, Hakim menggalas tanggungjawab besar apabila menggantikan Angel Piqueras yang menamatkan kempen lalu di tempat kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Betul, saya tidak menganggap diri sebagai pelumba baharu. Setiap perlumbaan saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk negara.

“Dalam fikiran saya, pelbagai perasaan bermain, gementar, teruja, gembira, tetapi saya mengambil semuanya secara positif, menimba pengalaman dan menikmati perlumbaan sulung saya nanti,” kata Hakim.

Hakim dijadualkan berlepas ke Eropah awal Februari bagi menjalani ujian rasmi Moto3 di Portimao, Portugal, selain menyesuaikan diri lebih awal dengan persekitaran dan tekanan perlumbaan di benua itu.

Keyakinan tersebut turut diperkukuhkan dengan keserasian bersama pasukan apabila Hakim sudah mengenali kru teknikal termasuk ketua krew yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu dalam saingan JuniorGP.

“Ya, memang saya sudah kenal dengan pasukan. Saya rasa suasananya seperti dalam keluarga, malah mereka menganggap saya sebahagian daripada keluarga. Saya harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Selain penyesuaian awal di Eropah, Hakim turut memanfaatkan kem latihan bersama pelumba-pelumba dari Eropah dalam tempoh dua minggu lalu bagi meningkatkan kemahiran dan membiasakan diri dengan intensiti sebenar menjelang perlumbaan pembukaan di Buriram, Thailand pada 27 Februari ini.

“Pada minggu ini dan minggu lalu, saya mengikuti kem latihan bersama pelumba-pelumba dari Eropah, dan ia banyak membantu saya meningkatkan kemahiran.

“Saya rasa sudah bersedia untuk perlumbaan dan tidak sabar untuk menghadapi perlumbaan sulung saya di Thailand nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini