Laluan mencabar buat Izzah

Laluan mencabar buat Izzah

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kem berbasikal trek negara bakal menempuh jadual padat dan mencabar musim ini dengan dua temasya utama, Sukan Asia dan Sukan Komanwel, selain beberapa kejohanan penting yang menjadi medan pemburuan mata kelayakan ke Kejohanan Dunia di Shanghai, China dari 14 hingga 18 Oktober ini.

Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menegaskan Kejohanan Dunia menjadi pentas pertama untuk mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Bagaimanapun, bagi melayakkan diri ke Shanghai, barisan pelumba negara perlu mempamerkan aksi mantap dalam tiga siri Piala Dunia Trek di Perth, Hong Kong dan Nilai yang dijadual berlangsung dari Mac hingga April.

Meskipun berdepan laluan mencabar, pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu tetap meletakkan fokus tinggi terhadap dua temasya besar tahun ini iaitu Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun (19 September hingga 4 Oktober) serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos.

“Dua kejohanan itu sangat penting buat saya. Kami masih dalam persiapan rapi untuk Komanwel dan juga Sukan Asia tahun ini.

“Kemungkinan Sukan Asia menjadi KPI (Petunjuk Prestasi Utama), tetapi kalau boleh saya mahu lakukan sesuatu yang istimewa di Komanwel,” kata Izzah.

Izzah bersama rakan sepasukan dijangka tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga apabila dijadual berlepas ke Tagaytay, Filipina bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 dari 25 hingga 31 Mac.

Sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia Trek Siri 1 di Perth pada 6 hingga 8 Mac, skuad trek negara berkemungkinan menjalani kem latihan pusat di Melbourne, Australia, namun keputusan akhir masih menunggu pengesahan jurulatih.

“Saya rasa perkara itu (kem latihan) belum pasti kerana jurulatih akan membuat keputusan dalam minggu depan (minggu ini),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN