PETALING JAYA: Kerjaya Prospek Group Berhad (KPGB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Future Rock Sdn. Bhd. (FRSB) memperoleh kontrak bernilai RM502.27 juta bagi kerja-kerja tambakan dan pengorekan di Pulau Pinang.
Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, projek tersebut yang dianugerahkan oleh Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd. (TPD), melibatkan pelaksanaan kerja-kerja di kawasan pembangunan Seri Tanjung Pinang Fasa 2B dan 2C (STP2) yang terletak di Tanjung Tokong.
Kontrak tersebut akan bermula pada 11 Mac 2026 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada atau sebelum 31 Mac 2029.
TPD merupakan anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Berhad (E&O), sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung oleh beberapa pengarah serta pemegang saham utama KPGB.
Menurut KPGB, penerimaan kontrak itu adalah dalam urusan biasa perniagaan FRSB dan dilaksanakan secara rundingan bebas berasaskan terma komersial biasa yang tidak lebih memihak berbanding yang ditawarkan kepada pihak awam.
“Kontrak ini dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan bagi tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
Dari segi kesan kewangan, kontrak berkenaan akan meningkatkan lagi buku pesanan sedia ada kumpulan.
Ia tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2029.
Kontrak itu dikategorikan sebagai Transaksi Pihak Berkaitan Berulang (RRPT) bersifat hasil atau dagangan selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, yang mana mandat pemegang saham untuk melaksanakan transaksi sedemikian telah diperoleh dalam Mesyuarat Agung Tahunan pada 11 Jun 2025.
Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif KPGB, Datuk Seri Tee Eng Ho merupakan Pengerusi Eksekutif E&O serta pemegang saham utama kedua-dua syarikat melalui kepentingan langsung dan tidak langsung.
Selain itu, Datin Seri Toh Siew Chuon dan Datuk Tee Eng Seng yang juga Pengarah Eksekutif KPGB turut mempunyai kepentingan dalam KPGB dan E&O, manakala Ketua Pegawai Eksekutif KPGB, Tee Eng Tiong merupakan saudara kepada Datuk Seri Tee Eng Ho dan Datuk Tee Eng Seng.
Selain daripada yang dinyatakan, tiada pengarah atau pemegang saham utama lain serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut. –UTUSAN










