KUALA LUMPUR: Pelakon, Keith Foo, tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu apabila tiba Ramadan apabila terkenang momen menjaga mendiang bapanya yang sakit di hospital, tahun lalu.
Keith atau Foo Chuan Chin, 43, berkata, sepanjang bapanya menerima rawatan pada Ramadan lalu, dia setia menemani insan tersayang itu bersama kekasihnya yang juga pelakon, Riena Diana.
Namun, takdir Allah mengatasi segalanya apabila bapanya menghembuskan nafas terakhir pada Mac tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
“Tahun lalu, saya jaga ayah di hospital bersama Riena sambil berpuasa. Tidak lama kemudian, ayah meninggal dunia dalam bulan Ramadan juga.
“Tahun lalu saya sempat berpuasa hampir sebulan dan tahun ini saya akan cuba berpuasa penuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pelakon drama Ariana Rose itu turut berkongsi, Ramadan memberi ruang untuknya melakukan refleksi diri dan memperbaiki kelemahan demi menjadi insan yang lebih baik.
“Bagi saya, disiplin sepanjang berpuasa itu sendiri sudah cukup bermakna. Selain menahan lapar dan dahaga, Ramadan adalah masa untuk kita menilai kekurangan dan kelebihan diri.
“Apa yang boleh diperbaiki, apa yang boleh ditambah baik. Puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi satu proses ‘self-cleansing’ dari segi mental dan fizikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramadan kali ini tetap dilalui dengan jadual kerja yang padat apabila dia dan Riena terlibat dengan penggambaran drama terbaharu.
“Kami memulakan penggambaran pada 20 Februari lalu. Riena terbabit dengan penggambaran untuk slot Akasia. Harapnya, penggambaran dapat diselesaikan lebih awal supaya kami dapat meluangkan masa bersama. Sekurang-kurangnya saya boleh hantar dia ke tarawih.
“Cuma bulan ini memang agak sibuk kerana saya juga menjalani penggambaran drama 28 episod dalam masa yang sama sambil berpuasa,” katanya. -UTUSAN










