LONDON: Polis United Kingdom (UK) melancarkan siasatan pembunuhan selepas seorang pemuda maut ditikam di luar sebuah masjid di Smethwick, dekat Birmingham, ketika penganut Islam berpuasa dalam bulan Ramadan.
Memetik laporan agensi berita Anadolu, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian di Oldbury Road pada petang kelmarin selepas menerima laporan mengenai gangguan ketenteraman di luar rumah ibadat berkenaan.
Mangsa yang berusia 18 tahun ditemui dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua lagi pemuda, masing-masing berusia 19 dan 22 tahun, turut mengalami kecederaan dalam insiden tersebut dan telah dihantar ke hospital.
Bagaimanapun, kecederaan mereka dilaporkan tidak mengancam nyawa.
Walaupun kejadian maut itu berlaku pada bulan Ramadan, polis menyatakan bahawa buat masa ini insiden berkenaan tidak diklasifikasikan sebagai serangan berunsur agama atau perkauman.
Jurucakap Polis West Midlands dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang berusaha keras untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan individu yang terlibat.
“Kami sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan menjalankan siasatan lanjut di kawasan sekitar bagi membantu kes,” katanya.
Siasatan masih diteruskan bagi menentukan bagaimana insiden itu tercetus manakala polis memburu pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan kejam tersebut. – AGENSI










