NOTTINGHAM: Liverpool diselamatkan jaringan dramatik minit ke-97 oleh Alexis Mac Allister untuk menewaskan Nottingham Forest 1-0 sekali gus menghidupkan peluang memburu slot Liga Juara-Juara (UCL) musim depan, sebentar tadi.
Forest yang dikendalikan buat kali pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) oleh Vitor Pereira hampir meraih satu mata berharga sebelum dikecewakan pada saat akhir di laman sendiri.
Mac Allister sebelum itu menyaksikan percubaannya dibatalkan selepas bola yang terkena lengannya ketika mengasak Ola Aina dianggap tidak sah oleh pengadil.
Namun pemain tengah Argentina itu tidak mensia-siakan peluang kedua apabila menyambar masuk bola muntah hasil tandukan Virgil van Dijk yang ditepis penjaga gol lawan.
Keputusan tersebut hanya disahkan selepas semakan panjang video bantuan pengadil (VAR) walaupun Hugo Ekitike berada dalam kedudukan ofsaid ketika situasi jaringan berlaku.
Kemenangan itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga keenam tetapi berkongsi mata dengan Chelsea dan Manchester United serta hanya enam mata di belakang Aston Villa.
Dalam perkembangan lain, Fulham menewaskan Sunderland 3-1 hasil dua gol Raul Jimenez manakala Crystal Palace mengatasi Wolverhampton Wanderers 1-0 untuk meredakan tekanan penyokong.
Sementara itu, tekanan kini memuncak ke atas Arsenal yang bakal bertemu seteru London, Tottenham Hotspur ketika perebutan takhta liga semakin sengit dengan Manchester City terus mengekori rapat di puncak EPL. – AGENSI










