Had umur 18 tahun perkahwinan wajar disokong

Had umur 18 tahun perkahwinan wajar disokong

AZRUL MOHD. KHALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan negeri Sarawak mengehadkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun wajar disokong sebagai usaha mengekang perkahwinan awal serta kehamilan remaja, selain melindungi kesihatan dan masa depan golongan muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd. Khalib berkata, cadangan itu selaras dengan penekanan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah bahawa perkahwinan awal membawa risiko besar dari segi reproduktif, mental dan sosial kepada remaja.

“Dari sudut kesihatan, kehamilan remaja dikaitkan dengan keputusan lebih lemah untuk ibu dan bayi termasuk risiko komplikasi kehamilan dan bersalin yang tinggi.

“Selain itu, wujud kesan sampingan seperti berhenti sekolah, peluang hidup berkurangan, dan kemiskinan berulang generasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azrul, Pusat Galen menyokong usaha Sarawak untuk menyeragamkan umur minimum perkahwinan 18 tahun di seluruh kerangka perundangan negeri termasuk undang-undang sivil dan syariah. 

Katanya, sebarang pengecualian tidak seharusnya menjejaskan perlindungan kanak-kanak dan remaja.

“Ini adalah langkah penting berasaskan bukti selaras dengan keutamaan kesihatan awam iaitu menunda kehamilan sehingga dewasa, meningkatkan hasil kesihatan ibu dan anak serta membolehkan golongan muda terus bersekolah dan membangunkan kemahiran untuk kehidupan stabil.

“Umur minimum yang jelas perlu diselaraskan dengan langkah pencegahan praktikal bagi mengurangkan kehamilan remaja dan mengukuhkan kesejahteraan remaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN