LONDON: Chelsea dan Burnley mengecam keras tindakan berunsur perkauman yang dilemparkan terhadap Wesley Fofana dan Hannibal Mejbri selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, kelmarin.
Wesley Fofana yang dilayangkan kad merah pada minit ke-72 selepas menerima kad kuning kedua susulan kekasaran ke atas James Ward-Prowse berkongsi tangkap layar mesej berbaur perkauman yang diterimanya di Instagram sejurus tamat perlawanan.
“Sudah 2026, tetapi perkara sama masih berlaku dan tiada apa yang berubah kerana individu seperti ini tidak pernah dihukum walaupun kempen besar dilancarkan menentang perkauman.
“Banyak kempen menentang perkauman diwujudkan, namun tiada tindakan sebenar diambil,” tulis pemain pertahanan Perancis itu.
Chelsea dalam kenyataan rasmi menegaskan kelab berdiri teguh bersama pemainnya dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk diskriminasi.
“Tingkah laku seperti ini tidak boleh diterima dan bercanggah dengan nilai permainan serta prinsip kelab, malah tiada ruang untuk rasisme dan kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku,” menurut kenyataan itu.
Hannibal Mejbri yang memenangi sepakan percuma bagi kad kuning pertama Fofana turut memuat naik mesej diterimanya sambil menyeru agar masyarakat mendidik diri dan anak-anak supaya menghormati sesama insan.
Burnley pula menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap diskriminasi sambil melaporkan insiden itu kepada Meta serta bekerjasama dengan EPL dan pihak polis, manakala keputusan seri tersebut meletakkan Chelsea di tangga keempat liga mengatasi Manchester United kendalian Michael Carrick menerusi perbezaan jaringan. – AGENSI










