ARAU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis bakal tampil lebih segar dalam misi kembali merampas negeri ini dengan dijangka mempertaruhkan lebih 85 peratus calon muka baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, calon yang dikenal pasti itu terdiri daripada golongan muda, wanita dan muka baharu itu telah diarahkan untuk turun kerja di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Calon ini melibatkan semua gender dan umur. Ada calon wanita yang kita cuba memenuhi hasrat sayap tersebut iaitu 30 peratus calon dengan dalam konteks Perlis empat calon (wanita). Sudah pastinya kita akan beri ruang kepada calon muda kerana daftar pengundi di Perlis juga menunjukan majoriti besar adalah anak muda.
“UMNO dan BN hendak menawarkan kepada rakyat barisan kepemimpinan yang boleh memberi sumbangan kepada rakyat. Jadi, kita berharap rakyat boleh memberi peluang untuk kita buat sehabis baik bagi memenuhi aspirasi rakyat daripada segi kebajikan, pembangunan, ekonomi dan peluang pekerjaan. Persiapan kami kini juga umpama pilihan raya akan berlaku bulan depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sewaktu PRU15, UMNO dan BN di Perlis buat pertama kali dalam sejarah hilang penguasaan kerajaan negeri apabila kalah di semua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen.
Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, ketidaktentuan politik PN di Perlis dijangka memberi kelebihan kepada UMNO dan BN pada PRU16.
Beliau menerima maklum balas daripada akar umbi yang rata-rata menzahirkan rasa muak dengan prestasi kerajaan PN.
Katanya, kerajaan PN Perlis sepatutnya memberi fokus kepada usaha pembangunan negeri bukan disajikan dengan cerita politik berpanjangan.
Katanya, berhubung soal kerjasama dengan mana-mana pihak dalam PRU16, ia bergantung kepada pertimbangan politik dengan keutamaan kepada kepentingan rakyat.
“Dengan siapa kita akan pergi (PRU16) masih dalam pertimbangan dan saya telah panggil mesyuarat perhubungan bagi mendengar pandangan di setiap bahagian. Pandangan itu nanti akan diperhalusi dan dibawa pusat untuk tentukan dengan siapa akan bersama dalam pilihan raya akan datang.
“Belum ada kepastian dan belum ada ketetapan tetapi yang paling penting kita bekerja untuk semua DUN dan Parlimen,” katanya.-UTUSAN











