KUALA LUMPUR: Empat kejohanan skuad ski air negara diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sekaligus membuka laluan persiapan mantap ke Sukan Sea Malaysia dan Kejohanan Dunia 2027.
Pegawai Eksekutif Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), Norzeela Sulaiman, menyifatkan keputusan itu sebagai positif walaupun permohonan asal membabitkan lapan kejohanan.
“Alhamdulillah, perbincangan sangat baik. Kita dalam kategori sukan berfasa, jadi bantuan MSN berdasarkan fasa.Kita memang cadang lapan kejohanan tapi lulus empat sahaja untuk tahun ini,” katanya selepas mesyuarat.
Daripada empat kejohanan berkenaan, tiga adalah pendedahan luar negara khusus untuk atlet utama, manakala satu lagi akan dianjurkan di Malaysia pada Julai dengan jemputan negara Asia Tenggara.
Bagi kempen Sukan Sea 2027, skuad ski air negara meletakkan sasaran lima pingat emas daripada 10 acara, termasuk slalom, tricks, jump dan overall.
Norzeela menekankan harapan besar diletakkan kepada atlet wanita, Aaliyah Yoong, yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat.
Indonesia kekal pencabar utama, terutama kategori lelaki dalam acara jump, namun ranking semasa memberi kelebihan kepada wakil negara. Seramai lapan atlet sudah diluluskan di bawah program Sukan Sea.
Norzeela memaklumkan program latihan berjalan secara berfasa dengan bantuan MSN termasuk elaun Fasa 1, pendedahan luar negara dan kem latihan tempatan.
“Kita akan adakan tiga kem di Putrajaya dan bawa jurulatih dari Chile selama sebulan untuk latih prospek pingat serta atlet junior,” katanya.
Institut Sukan Negara (ISN) turut menyediakan sokongan fisioterapi, rehabilitasi dan pemeriksaan perubatan.
Aaliyah pula mendapat keutamaan bagi mengumpul mata ranking menjelang Kejohanan Dunia Februari tahun depan.
“Dia perlu sertai kejohanan ranking untuk dapat seeding yang baik. Sebab itu kita beri pendedahan lebih kepadanya kerana dia kini berada di tahap dunia,” jelas Norzeela.-UTUSAN








