PETALING JAYA: Prestasi institusi perbankan di Malaysia berada pada tahap kukuh sepanjang tahun lalu, selari dengan pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang 5.2 peratus pada 2025 melepasi sasaran kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
Ini dapat dilihat daripada prestasi tiga bank tempatan iaitu AMMB Holdings Berhad (AmBank Group), Public Bank Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad yang merekodkan
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sektor perbankan Malaysia berada pada tahap yang baik, disokong oleh peningkatan keuntungan, kualiti aset yang stabil serta prestasi pasaran modal yang memberangsangkan.
Katanya, prestasi ekonomi yang lebih baik ini terus menyokong permintaan kredit dan kestabilan sistem kewangan negara.
“Nisbah keuntungan utama seperti Pulangan ke atas Ekuiti (ROE) meningkat kepada 10.2 peratus pada suku keempat 2025 berbanding 9.3 peratus dalam tempoh yang sama pada 2024, mencerminkan kecekapan pengurusan modal dan daya tahan institusi kewangan tempatan
“Dalam masa sama, tahap hutang tidak berbayar (NPL) kekal rendah apabila nisbahnya terus merosot kepada 1.37 peratus pada Disember 2025 berbanding 1.44 peratus pada Disember 2024.
“Perkembangan ini menunjukkan bank tidak perlu membuat peruntukan hutang lapuk yang tinggi bagi tahun kewangan 2025 untuk portfolio pinjaman masing-masing, sekali gus menyokong margin keuntungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
AmBank Group melaporkan pertumbuhan 8.9 peratus untung bersih kepada RM529.58 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM486.49 juta pada suku sebelumnya, dipacu oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi.
Pendapatan kumpulan naik 3.1 peratus kepada RM1.28 bilion bagi suku yang sama daripada RM1.24 bilion pada tahun lalu.
Bagi sembilan bulan pertama pula, kumpulan perbankan keenam terbesar negara mengikut aset itu merekodkan untung pertumbuhan untung bersih sebanyak 6.3 peratus kepada RM1.58 bilion berbanding RM1.48 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, Public Bank merekodkan keuntungan bersih tertinggi baharu sebanyak RM7.22 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM7.15 bilion tahun sebelumnya.
Prestasi itu didorong peningkatan pendapatan faedah bersih serta lonjakan pendapatan bukan faedah sebanyak 15 peratus, selain nisbah kos kepada pendapatan yang kekal rendah pada 34.9 peratus.
Alliance Bank pula mencatatkan keuntungan bersih suku tahunan tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM215.22 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025, meningkat 15.3 peratus tahun ke tahun.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih bank itu naik 12.2 peratus kepada RM620.48 juta, disokong pertumbuhan kukuh pendapatan bukan faedah sebanyak 45.3 peratus, hasil yuran pengurusan kekayaan, jualan pertukaran asing dan pendapatan pelaburan yang lebih tinggi.
Secara keseluruhan, keputusan tiga bank tersebut mengesahkan jangkaan awal firma penyelidikan bahawa musim keputusan kewangan 2025 akan memperlihatkan pertumbuhan keuntungan satu digit sederhana bagi sektor perbankan.
Pertumbuhan itu disokong pertumbuhan pinjaman antara lima hingga tujuh peratus serta kualiti aset yang stabil.
Nota penyelidikan sebelum ini turut menjangkakan margin faedah bersih (NIM) berada dalam keadaan terkawal berikutan persekitaran kadar faedah yang stabil, manakala pendapatan bukan faedah dijangka menjadi pemacu tambahan susulan aktiviti pasaran modal dan pengurusan kekayaan yang lebih rancak.
Afzanizam berkata, pasaran modal Malaysia turut mencatat prestasi cemerlang apabila kadar pulangan bon menunjukkan trend penurunan.
“Penurunan hasil ini menandakan kenaikan harga bon, sekali gus membolehkan institusi perbankan merekodkan keuntungan lebih tinggi daripada pelaburan dalam pasaran bon,” katanya.
Tambahnya, kadar pulangan bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bagi tempoh matang 10 tahun susut sebanyak 30 mata asas pada akhir Disember 2025 berbanding Disember 2024.
“Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan pendapatan bank daripada portfolio dagangan sekuriti,” katanya. – UTUSAN










