MELAKA: Cadangan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur merupakan tindakan bermotif politik yang berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, kajian dilihat menjurus kepada usaha mewujudkan pilihan raya bagi mengisi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ketika ini dilantik kerajaan daripada kalangan penjawat awam.
Katanya, langkah itu tidak ubah seperti percubaan berterusan pihak tertentu untuk menguasai bandar utama seperti Kuala Lumpur melalui saluran politik, selepas cadangan mewujudkan pilihan raya ahli dewan bandaraya sebelum ini menerima tentangan rakyat.
“Perikatan Nasional (PN) Melaka membantah sebarang usaha untuk memperkenalkan pilihan raya Datuk Bandar kerana ia berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran pihak berkuasa tempatan.
“Jawatan Datuk Bandar wajar terus dilantik oleh kerajaan daripada kalangan penjawat awam bagi memastikan perkhidmatan awam kekal neutral, profesional dan bebas kepentingan politik,” katanya hari ini.
Bakri yang juga Ketua Penerangan PN Melaka berkata, sebarang cadangan mewujudkan pilihan raya sama ada bagi ahli dewan bandaraya mahupun Datuk Bandar perlu ditentang, yang mana sistem sedia ada perlu dikekalkan demi menjamin keadilan pentadbiran.
Beliau berkata, pelaksanaan kedua-duanya bakal mewujudkan ketidakseimbangan apabila ia dikuasai oleh kelompok majoriti tertentu di kawasan bandar, sekali gus menafikan prinsip pentadbiran inklusif.
“Cadangan ini boleh membuka ruang kepada penguasaan politik di bandar besar, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan apabila kelompok majoriti tertentu berpeluang menguasai pentadbiran melalui pilihan raya.
“PN kekal konsisten memperjuangkan politik matang serta menolak sebarang bentuk penguasaan kaum atau parti dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan,” katanya. – UTUSAN










