BARCELONA: Litar Barcelona, Sepanyol terus kekal dalam kalendar Formula Satu (F1) sehingga 2032 apabila diumumkan akan menganjurkan perlumbaan secara bergilir bersama Spa-Francorchamps di Belgium bagi tempoh enam tahun akan datang.
Menurut penganjur, Montmelo yang sebelum ini berada pada tahun terakhir kontraknya akan menjadi tuan rumah pada 2028, 2030 dan 2032, manakala Spa-Francorchamps diberi hak penganjuran bagi edisi 2027, 2029 dan 2031.
Keputusan tersebut sekali gus menamatkan spekulasi bahawa Barcelona bakal tersisih susulan kemunculan Madrid sebagai tuan rumah baharu bermula 2026 dan seterusnya.
Presiden F1, Stefano Domenicali berkata, Barcelona kekal sebagai destinasi istimewa dalam kalendar sukan permotoran elit dunia itu.
“Barcelona adalah sebuah bandar yang luar biasa dan peminat Formula Satu di sana sentiasa menyambut kami dengan penuh semangat, jadi saya gembira kami akan terus berlumba di sana untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Menurut F1, perjanjian baharu itu dimeterai selepas pelaburan signifikan dilakukan di litar berkenaan termasuk pembinaan kawasan hospitaliti baharu serta pemasangan panel solar di seluruh kawasan litar.
Langkah itu mencerminkan komitmen penganjur dalam memastikan Barcelona terus relevan di tengah persaingan venue baharu yang semakin agresif memburu tempat dalam kalendar global. – AGENSI










