KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai membunuh empat ahli keluarganya iaitu ibunya, isteri dan dua anak perempuannya berusia tiga dan empat tahun sebelum membunuh diri dalam kejadian di Taman Cherating Damai, di sini, semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ketika kejadian pukul 7 pagi itu, adik lelaki suspek berusia 15 tahun yang turut berada di rumah berkenaan tidak dicederakan.
“Mayat suspek berusia 32 tahun, isterinya berusia 28 dan dua anak mereka ditemukan dalam satu bilik manakala mayat ibu suspek berusia 55 tahun dijumpai di ruang dapur.
“Polis menemukan kesan kelar pada semua mangsa dan menjumpai senjata pisau yang digunakan suspek,” katanya di lokasi kejadian di sini hari ini
Yahaya berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Suspek sekeluarga sebelum ini tinggal di Selangor sebelum berpindah ke rumah ibunya seminggu lalu dan baru mula bekerja di daerah ini.
“Rumah berkenaan diduduki lapan sekeluarga termasuk seorang lagi ahli keluarga yang ketika kejadian tiada di rumah,” katanya. – UTUSAN










