ALBACETE: BARCELONA mara ke separuh akhir Copa del Rey selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Albacete dalam aksi suku akhir yang berlangsung penuh dramatik, semalam.
Gol Lamine Yamal, dan pertahanan Uruguay, Ronald Araujo, memastikan kelab gergasi Sepanyol itu meneruskan kemaraan, meskipun diberi tentangan sengit oleh pasukan divisyen dua berkenaan yang sebelum ini mengejutkan Real Madrid.
Juara Copa del Rey 32 kali itu mendahului perlawanan hasil jaringan Yamal pada minit ke-39 sebelum Araujo menggandakan kelebihan menerusi tandukan pada minit ke-56.
Albacete cuba merapatkan kedudukan apabila Javi Moreno menjaringkan gol pada minit ke-87 namun skuad kendalian Hansi Flick berjaya bertahan sehingga wisel penamat untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Araujo menyifatkan kemenangan tersebut sebagai penting, khususnya buat dirinya yang baru kembali beraksi.
“Beberapa minit terakhir memang sukar, tetapi ini sifat perlawanan piala. Saya gembira dapat kembali bermain, ia satu langkah besar buat saya,” katanya.
Dalam pada itu, Flick mengakui pasukannya sepatutnya mematikan perlawanan lebih awal selepas mensia-siakan beberapa peluang keemasan.
“Ia perlawanan yang sukar hingga ke akhir. Kami terlepas banyak peluang tetapi secara keseluruhan pasukan layak menang. Yang penting kami berada di separuh akhir,” katanya.
Dalam perlawanan lain suku akhir esok, Valencia akan menerima kunjungan Athletic Bilbao, Real Sociedad bertandang ke Alaves manakala Atletico Madrid dijadual berdepan Real Betis pada Jumaat ini. – AFP










