Azeem pecah rekod dalam dewan 200m kebangsaan

Azeem pecah rekod dalam dewan 200m kebangsaan

Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah antara individu yang bertanggungjawab mencungkil bakat pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi. - FB AZEEM FAHMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muhammad Azeem Fahmi terus mengukuhkan statusnya sebagai prospek utama pecut negara apabila memperbaharui rekod kebangsaan 200 meter (m) dalam dewan pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Clemson, hari ini.

Pelari berusia 22 tahun itu mencatat 21.20 saat (s), sekali gus memadam rekod miliknya sendiri 21.50s yang dilakukannya di Kejohanan Jemputan Bob Pollock pada 2 Februari lalu.

Catatan tersebut juga memperlihatkan peningkatan konsisten Azeem dalam tempoh kurang sebulan selepas sebelum ini memadam rekod lama 22.86s milik Timothy Tan yang dilakukan pada Manchester Indoor Meet 2019.

Pada saingan yang berlangsung di Kompleks Balapan dan Padang Tertutup Clemson, Carolina Utara, Azeem menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-21 daripada keseluruhan 48 pelari yang mengambil bahagian.

Meskipun gagal mara ke final acara 60m selepas menamatkan separuh akhir di tempat kesembilan dengan catatan 6.65s pada Jumaat lalu, aksi bertenaganya dalam 200m membuktikan peningkatan fizikal dan ketahanan kelajuan yang semakin matang.

Bulan lalu, atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu turut mencuri perhatian apabila menjuarai acara 60m di Kejohanan Jemputan UAB Blazer di Birmingham CrossPlex, Alabama.

Dalam perlumbaan tersebut, Azeem yang mewakili universitinya mencatat 6.60s, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelari Asia yang sedang meningkat naik di trek kolej Amerika Syarikat (AS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN