Awas taktik penipuan menyamar sebagai pekerja TNB

Awas taktik penipuan menyamar sebagai pekerja TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan taktik penipuan terbaharu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pekerja syarikat utiliti tersebut.

Menerusi satu amaran yang dikeluarkan, TNB menasihatkan pelanggannya supaya berhati-hati dengan helah sindiket scammer yang cuba memperdaya mangsa bagi mendapatkan maklumat peribadi yang sulit.

Bagi memberi kesedaran awam, pihak TNB mendedahkan tiga taktik utama yang sering digunakan pada masa kini iaitu penyamaran, pancingan data dan tawaran palsu.

“Scammer akan menghubungi atau mendatangi mangsa dengan mendakwa kononnya terdapat tunggakan bil yang tinggi atau kesalahan mengusik meter.

“Mangsa diugut bekalan elektrik akan dipotong segera dan didesak memindahkan wang ke akaun bank individu atau pihak ketiga (bukan akaun rasmi TNB),” katanya dalam kenyataan.

Menurut TNB, mangsa juga akan menerima e-mel, mesej SMS/WhatsApp, atau pautan web palsu yang menyerupai TNB bertujuan mencuri maklumat peribadi sulit dan butiran perbankan mangsa.

Sindiket mengiklankan tawaran seperti diskaun bil elektrik tidak wujud di media sosial atau menjual peranti penjimatan tenaga haram, katanya.

TNB turut menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan membuat semakan segera sekiranya dihubungi oleh nombor telefon yang mencurigakan.

Semakan nombor telefon dan nombor akaun bank boleh dibuat secara terus melalui portal rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pautan https://semakmule.rmp.gov.my. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×