PETALING JAYA: Atlet luncur alpine negara, Aruwin Idami Salehuddin tekad bangkit pada acara Slalom yang dijadualkan pada Rabu ini.
Meskipun langkahnya tersekat dalam acara giant slalom wanita di Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, semangat Aruwin tidak pernah luntur.
Atlet tunggal negara itu berdepan detik mengecewakan apabila gagal menamatkan kedua-dua larian di Pusat Ski Alpine Tofane, sekali gus menutup peluangnya untuk mencabar kedudukan terbaik dalam acara berkenaan.
Namun, kegagalan itu tidak mematahkan azam Aruwin di bumi Itali tersebut dalam masa yang sama mengakui tetap positif dan bersedia bangkit dalam acara slalom Rabu ini.
Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, Aruwin menzahirkan penghargaan atas sokongan rakyat Malaysia selain menjelaskan keadaan dirinya berada dalam keadaan baik.
“Saya melihat begitu banyak komen positif daripada anda semua dan saya amat menghargainya.
“Terima kasih banyak-banyak. Saya ingin memaklumkan bahawa saya berada dalam keadaan baik.
“Sudah tentu saya sedikit kecewa kerana tidak dapat menamatkan saingan hari ini, tetapi itulah sebahagian daripada sukan ini.
“Perkara terbaik adalah saya sudah memberikan segala-galanya dan saya berpuas hati dengan persembahan.
“Jadi saya harap anda semua terus memberikan sokongan kerana perjuangan saya di sini masih belum berakhir,” katanya menerusi satu hantaran di instagram miliknya.
Pada temasya kali ini, pingat emas giant slalom wanita menjadi milik atlet tuan rumah, Federica Brignone yang mencatat masa keseluruhan 2 minit 13.50 saat.
Sebagai rekod, Aruwin mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama Malaysia beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk ketika membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 dengan menamatkan saingan di tempat ke-38 bagi acara giant slalom. – UTUSAN










