Anisimova melangkah tanpa bertarung

Anisimova melangkah tanpa bertarung

Amanda Anisimova. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Kejohanan Tenis Terbuka Dubai terus dihimpit episod penarikan diri apabila pilihan kedua dari Amerika Syarikat (AS), Amanda Anisimova mara ke pusingan 16 terakhir tanpa perlu memukul sebarang pukulan selepas lawannya, Barbora Krejcikova menarik diri akibat kecederaan paha kiri.

Situasi itu menyaksikan juara dua kali Grand Slam dari Republik Czech berkenaan menjadi pemain terbaharu mengundurkan diri daripada saingan WTA 1000 tersebut yang setakat ini sudah kehilangan lapan peserta utama.

Sebelum ini, dua pemain ranking teratas dunia, Aryna Sabalenka dan Iga Swiatek turut menarik diri, diikuti bintang muda Kanada, Victoria Mboko, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap tahap kecergasan pemain elit menjelang kempen lebih mencabar musim ini.

Anisimova kini dijadual berdepan Janice Tjen di pusingan 16 selepas pemain muda itu menempah tiket menerusi kemenangan 7-6 (7/5), 6-4 ke atas finalis Terbuka AS 2021, Leylah Fernandez.

Dalam perkembangan lain, Emma Raducanu yang menewaskan Fernandez pada final di New York sebelum ini tersingkir seawal pusingan pertama apabila tunduk 6-1, 5-7, 6-2 kepada pemain ranking ke-67 dunia, Antonia Ruzic.

Bintang meningkat naik, Iva Jovic turut mencuri tumpuan selepas mencatat kemenangan turun naik 6-1, 1-6, 6-1 ke atas Kamilla Rakhimova untuk melangkah ke pusingan kedua.

Sara Bejlek pula meneruskan rentak cemerlang di Timur Tengah apabila menewaskan Zeynep Sonmez bagi mengatur pertembungan dengan pilihan kesembilan, Belinda Bencic yang bangkit menundukkan Jessica Bouzas Maneiro 2-6, 6-1, 6-2.

Sementara itu, Paula Badosa menewaskan Katerina Siniakova untuk bertemu Elina Svitolina, Coco Gauff bakal membuka kempen menentang Anna Kalinskaya selepas pemain itu menyingkirkan Jelena Ostapenko, manakala aksi Selasa menyaksikan juara bertahan Mirra Andreeva berdepan Daria Kasatkina dan pilihan utama Elena Rybakina menentang Kimberly Birrell. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN