LENGGONG: “Kepulangannya selepas 18 tahun merupakan hadiah paling bermakna menjelang Ramadan.”
Itu kata Umi Kalsum Ahmad, 67, emak saudara kepada Norida Akmal Ayob, 45, wanita rakyat Malaysia yang pulang ke kampung halamannya Kampung Bukit Sapi, Lenggong di sini setelah 18 tahun terkandas di Lombok, Indonesia.
Menurut Umi Kalsum, tiada kata-kata dapat menggambarkan kegembiraannya apabila Norida yang dianggapnya sebagai anak sendiri akhirnya pulang setelah hidup sendirian, susah dan daif di negara orang selepas berpisah dengan suaminya warga Indonesia.
Umi Kalsum berkata, dia menerima Norida dan anak perempuannya, Nur Fateen Akmadiana, 20, yang dianggap seperti cucu sendiri.
“Tidak terkira suka sangat saya rasa apabila dia dapat kembali ke kampung kelahirannya di sini. Dia anak saudara saya yang saya jaga sejak kecil umpama anak sendiri. Begitu juga anak perempuannya yang kini sudah besar, sudah berusia 20 tahun. Kali terakhir saya melihatnya 18 tahun lalu, ketika itu dia baru belajar berjalan.
“Bagi saya ini hadiah Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi. Saya terima walaupun macam mana pun kepayahan hidup yang pernah dilaluinya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bukit Sapi, Lenggong.
Umi Kalsum berkata, dia lega kerana segala kesusahan anak saudaranya itu sepanjang 18 tahun berada di Lombok sudah berakhir.
Katanya, selama ini sejak bertahun-tahun mereka berhubung melalui telefon dan Norida sering mengadu kepayahan hidup yang dilaluinya di Lombok apabila terpaksa mencari rezeki sebagai tukang sapu demi meneruskan hidup bersama anak-anak setelah berpisah dengan suaminya yang berkahwin lain.
“Harapan saya janganlah balik ke sana, hidup susah di sana. Kalau sekadar untuk melancong, mungkin boleh tapi kalau nak menetap di sana, tak payahlah. Hidup di sini lebih baik,” katanya.
Norida selamat dibawa pulang ke tanah air Sabtu lalu. Sebelum ini mengikuti suaminya yang juga warga Indonesia ke Lombok bersama anak perempuan mereka dan menetap di sana.
Perkahwinan Norida tidak kekal dan akhirnya beliau hidup sendirian, susah dan daif dan dia mencari rezeki sebagai tukang sapu demi meneruskan hidup bersama anak-anak setelah berpisah dengan suaminya yang berkahwin lain.
Norida mempunyai dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang lahir di Malaysia dan berstatus warga Malaysia, manakala Muhamad Sabani Daniel pula warga Indonesia kerana dilahirkan di negara tersebut.
Usaha membawa Norida pulang diusahakan oleh keluarganya termasuk menerusi bantuan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri. – UTUSAN










