MELBOURNE: Carlos Alcaraz memahat sejarah tersendiri selepas menjuarai Terbuka Australia buat kali pertama, sekali gus muncul pemain lelaki termuda melengkapkan karier Grand Slam selepas menewaskan Novak Djokovic pada pentas final, hari ini.
Pemain Sepanyol berusia 22 tahun itu, bangkit selepas tewas set pertama sebelum menundukkan legenda Serbia berusia 38 tahun tersebut 2-6, 6-2, 6-3, 7-5 di Rod Laver Arena.
Kemenangan itu sekali gus menafikan hasrat Djokovic untuk merangkul gelaran Grand Slam ke-25 yang belum pernah dicapai mana-mana pemain.
Keputusan berkenaan menyaksikan Alcaraz meraih gelaran Grand Slam ketujuh dalam kariernya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia.-AGENSI










