Rybakina ke separuh akhir tundukkan Swiatek

Rybakina ke separuh akhir tundukkan Swiatek

Elena Rybakina menundukkan pilihan kedua dunia, Iga Swiatek 3-6, 6-1, 6-0 untuk melangkah ke separuh akhir WTA Finals di Riyadh, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Elena Rybakina mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila menundukkan pilihan kedua dunia, Iga Swiatek 3-6, 6-1, 6-0 untuk melangkah ke separuh akhir WTA Finals di Riyadh, semalam.

Pemain dari Kazakhstan itu mempamerkan kekuatan mental luar biasa selepas tewas set pertama, sebelum bangkit menguasai dua set berikutnya dengan servis bertenaga dan pukulan tepat ke garisan.

Swiatek yang bermula garang memenangi tiga game awal akhirnya tenggelam dengan 36 kesilapan tidak paksa, berbanding Rybakina yang tampil lebih konsisten untuk meraih kemenangan pertama ke atas juara Grand Slam enam kali itu dalam lima pertemuan.

“Itu perlawanan sukar, saya perlu memaksa diri untuk terus berjuang selepas ketinggalan. Dalam set kedua, servis saya semakin baik dan saya dapat bermain dengan lebih yakin setiap mata.

“Saya gembira dengan cara saya bangkit. Ia kemenangan penting kerana saya pernah tewas beberapa kali kepadanya sebelum ini, jadi kali ini saya mahu benar-benar menutup ruang buat Swiatek,” kata Rybakina.

Dalam satu lagi aksi, Amanda Anisimova turut mencipta kejutan apabila menyingkirkan rakan senegara, Madison Keys 4-6, 6-3, 6-2 untuk mencatat kemenangan pertama dalam kejohanan berprestij itu.

Keys yang juga juara Terbuka Australia nyata tidak berada pada tahap terbaik apabila melakukan 12 double fault, membenarkan Anisimova kembali menguasai rentak dan menamatkan set penentuan dalam masa hanya 34 minit.

“Pertarungan itu benar-benar menguji fokus saya. Saya gembira dapat ubah rentak selepas set pertama dan menamatkannya dengan kemenangan bergaya,” kata Anisimova. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN